Perutusan Ketua Eksekutif

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Selamat datang ke portal i-KON RTW. Kami di PERKESO mengalu-alukan setiap pengunjung yang melayari portal ini. Portal i-KON RTW dibangunkan bagi memastikan pengurusan kes hilang upaya yang efisien untuk pencarum PERKESO menerusi Program Return To Work (RTW) agar proses kembali semula ke alam pekerjaan berjalan lancar. Portal ini, yang menyediakan panduan kepada mereka yang memerlukan perkhidmatan RTW PERKESO, dilancarkan dengan rasminya pada bulan November 2021.

Pada tahun 2007, PERKESO menjadi perintis dalam pelaksanaan Program RTW dan merupakan peneraju dalam pengurusan hilang upaya di Malaysia. Melalui Program RTW ini, pencarum PERKESO yang mengalami kecederaan mahupun menghidap penyakit dibantu dengan sewajarnya hingga mereka dapat kembali bekerja semula untuk menjana pendapatan selain mengembalikan kualiti dalam kehidupan mereka.

Dengan wujudnya Program RTW ini, kami dapat mengubah persepsi di kalangan masyarakat bahawa PERKESO adalah organisasi yang bukan sahaja memberi pampasan semata-mata apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Sebaliknya, PERKESO berusaha untuk mengembalikan pencarumnya yang terbencana atau hilang upaya ke pangkuan masyarakat dengan lebih produktif setelah menjalani rawatan pemulihan dan mendapat sokongan yang selayaknya menerusi Program RTW. Adalah satu kepuasan bagi kami di PERKESO apabila melihat golongan pekerja yang mengalami kecederaan atau menghidap penyakit berupaya untuk berdikari dan  kembali bekerja semula. Malah, mempunyai pekerjaan dengan pendapatan yang stabil merupakan satu perlindungan keselamatan sosial yang penting.

Selain daripada Laman Web Rasmi PERKESO, portal i-KON RTW ini turut berperanan sebagai wadah penyaluran maklumat mengenai produk dan perkhidmatan PERKESO kepada orang ramai, terutamanya berhubung tatacara rujukan kes ke Program RTW serta lain-lain penerangan berkaitan Program RTW.

Besarlah harapan saya agar pembangunan portal i-KON RTW ini, yang merupakan salah satu inovasi PERKESO, bukan sahaja menjadi panduan malah sebagai platform interaksi di antara PERKESO dan pemegang taruhnya. PERKESO akan memastikan bahawa informasi di laman web ini sentiasa dikemaskini dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan melangkaui ekspektasi pelanggan, selaras dengan tagline PERKESO iaitu “PERKESO itu prihatin, prihatin itu PERKESO”.

Terima kasih

Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed