“TIADA ISTILAH PUTUS ASA DALAM KAMUS HIDUP AMAN”

Kecederaan Anterior Cruciate Ligament atau ACL merupakan igauan buruk kepada semua atlet  terutamanya pemain bola sepak. Kecederaan ini bukan hanya menyebabkan seseorang atlet terpaksa berehat dalam tempoh jangka masa yang panjang, namun tidak kurang juga ada yang terpaksa bersara awal dan melupakan hasrat untuk menjadi lagenda dalam sukan yang diceburi. Kepahitan itulah yang terpaksa ditelan oleh Ahmad Nur Rahman Bin Ab Rasid, atau lebih mesra disapa Aman, 20 tahun yang mengalami kecederaan ACL sebanyak 2 kali dalam tempoh dua tahun.  

LATAR BELAKANG KES 

Kejadian yang berlaku ke atas Encik Ahmad Nur Rahman yang lebih mesra disapa Aman, merupakan igauan buruk kepada beliau yang merupakan seorang pemain bola sepak pasukan Belia Negeri Terengganu  yang beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Belia 2019. Beliau mengalami kecederaan ACL pada 14.4.2019 semasa dalam perlawanan menentang pasukan Sabah di gelanggang sendiri. Kecederaan tersebut berlaku apabila beliau baru sahaja menyempurnakan sepakan percuma yang berjaya menerjah gawang lawan, dan sedikit kesilapan ketika meraikan jaringan menyebabkan beliau mendapat kecederaan yang tidak diingini oleh mana-mana pemain bola sepak profesional. Beliau dirujuk ke KPJ Damansara untuk pengesahan kecederaan dan pihak perubatan mengesahkan beliau mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament Tear Grade 3 dan memerlukan pembedahan segera. Pembedahan berjaya dilakukan dan selepas mendapat pengesyoran untuk mendapat rawatan rehabilitasi, beliau terus dirujuk kepada ahli perubatan pasukan yang diketuai oleh Fisioterapi Pasukan. 

RTW SEMARAKKAN KEYAKINAN DAN SEMANGAT 

Kes beliau telah dirujuk oleh Fisioterapi pasukan selepas mendapat maklumat daripada Program Pejabat PERKESO Negeri Terengganu Bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada awal tahun 2019. Fisioterapi pasukan hadir ke Pejabat PERKESO Negeri (PPN) Terengganu untuk berjumpa dengan Pengurus Kes Program Return To Work (RTW) PERKESO, Encik Muhammad Nazim bin A Rashid bagi mendapatkan nasihat dan gambaran awal berkenaan fasiliti dan juga kemudahan yang boleh membantu kembali Aman ke arena bola sepak. Kes beliau terus diberi penekanan oleh Encik Muhammad Nazim memandangkan beliau adalah prospek jangka panjang dan juga permata yang jarang sekali mempunyai bakat sebegitu dalam permainan bola sepak moden Terengganu. Selesai proses penilaian awal, beliau terus dirujuk ke Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR), Melaka bagi mendapatkan rawatan rehabilitasi secara intensif di bawah pemantauan Pengurus Kes PRPTAR; Encik Khaliq. Aman menjalani rawatan rehabilitasi di PRPTAR bagi merealisasikan Hasrat ‘Return To Sport’ selama 4 bulan. Kecanggihan peralatan dan juga fasiliti yang terdapat di PRPTAR nyata memberi sinar baharu kepada Aman, seterusnya menyemarakkan lagi semangat beliau untuk melakukan comeback dalam arena yang diceburi semenjak usia 6 tahun lagi. Menjadikan striker kelab Arsenal; Santi Cazorla sebagai idola, beliau mengambil semangat pemain tersebut yang juga mengalami kecederaan yang memaksa beliau berehat selama 2 tahun dan melakukan kemunculan kembali. Selepas fasa rehabilitasi di PRPTAR selesai, Aman kembali bersama pasukan bagi mengembalikan keyakinan dan juga mendapatkan mood di atas padang dengan pemantauan penuh Fisioterapi pasukan; Encik Tun Saiful. 

MAJIKAN PRIHATIN PEKERJA GEMBIRA 

Sesi penilaian tempat kerja dilaksanakan beberapa kali bagi memastikan Aman berada di landasan yang tepat untuk kembali dalam pasukan. Ketua Jurulatih Pasukan Piala Belia Terengganu; Coach Subri Sulong sangat memberi kerjasama yang penuh dan juga tidak putus memberi kata-kata semangat kepada Aman sepanjang beliau menjalani proses rehabilitasi serta segala maklumat yang diminta oleh Pengurus Kes akan disalurkan bagi membantu Aman. Perbincangan semasa juga kerap dilakukan memandangkan kes Aman adalah kes pertama yang akan menjadi contoh kepada pemain-pemain lain dalam menjalani sesi rehabilitasi yang komprehensif dan bermatlamat selepas mendapat kecederaan. Coach Subri sendiri memaklumkan berkenaan proses rehabilitasi Aman kepada Presiden PBSNT, dan Tuan Presiden mengucapkan jutaan terima kasih di atas keprihatinan pihak PERKESO khususnya dalam membantu pemain-pemain bola sepak yang cedera kembali ke padang. Pihak pengurusan pasukan juga turut dilibatkan dalam perbincangan bersama pasukan rehabilitasi PRPTAR sepanjang tempoh rehabilitasi berlangsung bagi memastikan proses pemulihan Orang Berinsurans (OB) menepati piawaian yang diletakkan oleh Jurulatih. Pihak pasukan juga turut ditekankan aspek ‘Mechanism of Injury’ oleh Pengurus Kes Muhammad Nazim memandangkan risiko terdedah kepada kecederaan agak tinggi bagi seorang pemain bola sepak dan ianya sangat membantu pasukan dalam meminimakan risiko kecederaan. Kerjasama yang ditunjukkan oleh majikan dan kesungguhan Aman telah dibalas dengan kejayaan apabila pasukan Bola Sepak Belia Terengganu menjadi Juara pada tahun tersebut. Walaupun Aman hanya sempat bermain sebanyak lima perlawanan pada musim tersebut, namun ianya sangat membantu pasukan dan juga menjadi serampang dua mata pasukan bagi mengurangkan risiko dan pengurusan kecederaan pemain.  

SINAR BUAT AMAN 

Bagi Aman, ini adalah kesempatan yang akan digunakan sepenuhnya untuk beliau kembali bangkit dan hasil perbincangan serta kerja keras pihak fisioterapi PRPTAR. Nama Aman disenaraikan dalam kesebelasan utama pemain bagi mengharungi cabaran Piala Presiden dan juga Kejohanan SUKMA. Inilah yang dikatakan kerja keras sudah pasti menampakkan hasil, namun ianya pasti akan menempuh ranjau dan duri sepanjang ujian tersebut.