BANGKIT SEMULA – STROK TIDAK MENGIRA USIA

Kehidupan yang agak sibuk di tempat kerja dan dibebani tanggungjawab seharian mampu memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan tanpa kita sedari. Kesihatan adalah anugerah yang diberikan oleh Tuhan dan perlu dijaga dengan rapi supaya ianya tidak musnah namun tiada siapa mampu mengubah takdir apabila ianya terjadi. Mari kita ikuti kisah saudari Cheam Siew Hwei yang telah mengalami “ISCHEMIC STROKE” di usia 37 tahun dan mari kita lihat kejayaan beliau yang mengikuti Program Return To Work PERKESO.

SEPARUH BADAN LEMAH SECARA TIBA-TIBA

Pada 17 Julai 2017, saudari Cheam Siew Hwei telah mengalami lemah di bahagian kiri badannya secara tiba-tiba. Hasil penilaian penuh oleh pihak medikal mendapati terdapat pembuluh darah yang tersumbat di bahagian kanan otaknya. Kemudian beliau telah diperkenalkan dengan sebuah program PERKESO dan beliau bersetuju untuk menyertai Program RTW ini demi meneruskan kehidupannya. Kes beliau diuruskan oleh salah seorang Pengurus Kes RTW PERKESO iaitu Cik Nurul Farhanah Binti Mat Koris. Beliau telah mengikuti sesi pemulihan intensif di Pusat Rehabilitasi PERKESO Sdn Bhd di Ayer Keroh, Melaka. Pengurus Kes juga telah mengambil tindakan pantas dengan memaklumkan kepada majikan beliau tentang komitmen pekerjanya dalam Program RTW ini dalam fokus kembali semula bekerja. Penat lelah beliau selama 3 bulan dalam meningkatkan kefungsian dirinya telah memberi sinar harapan baru terhadap kehidupannya di mana beliau akhirnya sudah bersedia untuk kembali bekerja semula. Walaupun begitu, beliau masih perlu menggunakan “splint” dalam membantu beliau untuk berjalan dengan lebih baik.

BANGKIT SEMULA

Hasil perbincangan lanjut Pengurus Kes bersama majikan telah membuka peluang kepada beliau untuk melakukan “Work Trial” selama sebulan. Skop kerja yang melibatkan kerja pejabat dengan penggunaan komputer dan telefon tidak menjadi masalah kepada beliau kerana telah mampu berfungsi dengan baik hasil sesi pemulihan intensif yang telah beliau jalani. Majikan juga sangat bermurah hati dalam menjaga kebajikan pekerja dengan membenarkan beliau bekerja pada shift pagi sahaja bagi mengurangkan tekanan serta kemungkinan yang tidak di ingini berlaku. Kini, saudari Cheam Siew Hwei telah mampu bekerja semula dengan hierarki RTW “Kerja Sama, Majikan Sama”.