
Mampukah kita bangun dan meneruskan kehidupan apabila kita mengalami hilangupaya kekal yang akan bersama kita seumur hidup? Mungkin ia juga akan merubah setiap sudut dalam kehidupan kita. Jika kita berda di tempat yang sedemikian adakah kita mampu untuk hadapinya dan adakah kita mampu untuk cekal menghadapi hari yang mendatang? Ia adalah persoalan yang agak sukar untuk kita jawab. Oleh itu, mari kita kenali saudara Muhammad Aminuddin Aizat Bin Baginda Mawardi yang telah melalui detik hitam dalam kehidupannya dan telah berjaya mengharunginya dengan jaya. Mari ikuti kisah ini.
LUMPUH DARI PARAS PINGGANG KE BAWAH SEUMUR HIDUP
Detik hitam yang muncul dalam hidup beliau bermula pada 29 Mac 2017 sewaktu dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.Satu kemalangan telah berlaku dan menyebabkan beliau mengalami kecederaan kekal iaitu doktor telah mengesahkan beliau lumpuh dari paras pinggang ke bawah seumur hidup. Kemalangan ini telah disahkan Bencana Kerja oleh pihak siasatan PERKESO dan telah disahkan mengalami 15 peratus hilangupaya kekal oleh sidang Jemaah Doktor PERKESO. Pada awalnya beliau hanya mampu berbaring dan kini beliau sudah berupaya mengendalikan kerusi roda sendiri serta meneruskan hidup seperti dahulu sebagai seorang Polis Bantuan. Disebalik kejayaan ini adalah Pengurus Kes RTW PERKESO iaitu Puan Fatimahwati Binti Ahmad Nazir yang telah mengkordinasi kes beliau khususnya rehabilitasi beliau secara intensif di Pusat Rehabilitasi PERKESO, Melaka di bawah Program Return To Work selama 5 bulan
TIADA YANG MUSTAHIL
Hasil perbincangan lanjut Pengurus Kes bersama majikan, mereka telah memberikan kerjasama yang cukup baik dalam mengekalkan beliau dalam perkhidmatan. Mereka mengambil kira faktor usia beliau yang masih begitu muda untuk menghadapi hari yang mendatang dengan keadaan hilangupaya yang dihadapi. 1 April 2018 adalah tarikh keramat bagi beliau yang memulakan semula tugasnya sebagai Polis Bantuan dengan menggunakan kerusi roda selepas berhempas pulas menjalani rehabilitasi dalam usaha meningkatkan kefungsiaannya. Beliau diberi tanggungjawab yang lebih ringan iaitu membuat laporan kejadian orang awam di One Utama Mall menerusi walkie talkie dan telefon serta menghubungi Bomba dan Ambulans jika terdapat kejadian yang serius. Saudara Muhammad Aminuddin Aizat yang pada awalnya seorang yang cukup murung kini telah bertukar menjadi seorang yang ceria, berdikari dari aspek aktiviti kehidupan seharian dan telah kembali bekerja dengan hierarki “Kerja Serupa, Majikan Sama”.