RTW MEMBERI SINAR BARU

Ambil seutas tali dan batu,
Sudah diambil mari diikat,
Kini PERKESO datang membantu,
Kembali bekerja kerjanya berkat.
 
Kemalangan jalan raya yang menimpa dirinya pada April 2019 ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja menjadi sejarah dalam lipatan kamus kehidupan Encik Mohd Fadzli bin Ismail. Kemalangan yang terjadi menyebabkan dirinya mengalami kecederaan L1 with lumbar spondylosis and PID L4/L5,L5/S1. Beliau merupakan seorang Penyelia Bahagian Proses di syarikat Venator Asia Sdn. Bhd. di negeri Terengganu. Akibatnya, kecederaan yang dialami oleh Encik Mohd Fadzli menyebabkan beliau menghadapi kesukaran untuk berjalan dan turut sukar untuk melakukan tugasan hakikinya di tempat kerja. Encik Mohd Fadzli sebagai pencarum PERKESO telah mendapat manfaat pemulihan fisioterapi melalui pembekal lantikan PERKESO iaitu HMC Provider dan Pusat Rehabilitasi PERKESO Sdn. Bhd. (PRPSB), Melaka di bawah Program Return To Work (RTW) PERKESO menerusi Skim Bencana Kerja PERKESO selain memperoleh manfaat bayaran pampasan cuti sakit atau Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS).
 

REHABILITASI PEMANGKIN SEMANGAT PULIH

Lantas keperitan dan kesusahan yang dialami oleh Encik Mohd Fadzli telah mendapat perhatian oleh Encik Muhammad Hanif bin Abdul Hamid selaku Pengurus Kes Program RTW PERKESO Kemaman, Terengganu. Encik Muhammad Hanif telah melaksana sesi penilaian awal terhadap Encik Mohd Fadzli dan mendapati bahawa beliau memerlukan rawatan pemulihan fisioterapi yang intensif bagi meningkatkan tahap keupayaan tulang belakangnya dan kakinya akibat kecederaan yang dialami. Justeru, Encik Mohd Fadzli telah mendapat faedah pemulihan panel fisioterapi lantikan PERKESO di Kemaman Wellness Sdn. Bhd. Dan di PRPSB. Sesi rundingan bersama pihak majikan turut dijalankan yang melibatkan Encik Muhammad Hanif dan pihak pengurusan Venator Asia Sdn. Bhd. dalam usaha membantu Encik Mohd Fadzli dapat kembali bekerja semula di pekerjaan hakikinya sebagai Penyelia Proses di syarikat tersebut.

KEMBALI BEKERJA PENUH BERMAKNA

Pasca pemulihan intensif yang disediakan PERKESO dan didorong oleh tahap motivasi Encik Mohd Fadzli yang tinggi untuk kembali bekerja semula, maka pada tarikh 1 Mac 2020 beliau telah berjaya kembali bekerja semula dalam hierarki pekerjaan “Kerja Berbeza, Majikan Sama”. Beliau kini diberikan kerja ringan dalam skop tugas iaitu hanya memantau perjalanan mesin dan tenaga kerja tanpa memerlukan beliau untuk berjalan dalam jarak yang jauh serta tidak perlu mengangkat barangan yang berat. Beliau juga bertugas mengikut syif bermula jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam. Tuntasnya, Encik Mohd Fadzli merupakan salah seorang peserta Program (RTW) PERKESO yang telah berjaya dipulihkan dan masih dapat meneruskan pekerjaannya kekal sebagai Process Supervisor sehingga kini.